Friday, February 5, 2010

PENTINGNYA KEBERGANTUNGAN DIRI KEPADA ALLAH


Kehidupan kita seringkali diuji dengan musibah dan masalah, dari umur setahun jagung sehinggalah usia sudah lanjut. Hidup kita tidak pernah putus dari masalah, lepas satu, satu masalah pula yang timbul dan begitulah seterusnya. Tidak kiralah masalah yang melibatkan pelajaran, berkaitan dengan masalah keluarga, masalah rumahtangga, masalah persahabatan, dan lain-lain lagi.
Apa yang perlu kita ingat ialah ALLAH.
Ingat bahawa ALLAH sentiasa bersama kita untuk membantu. Ketahuilah bahawa kita tidak berseorangan. Apa sahaja masalah yang kita hadapi pasti ada penyelesaiannya. Perkara yang paling penting ialah kebergantungan kita kepada ALLAH. Jangan pernah terfikir bahawa ALLAH tidak menyayangi kita. Kita seharusnya sedar bahawa ALLAH menguji keimanan hambanya dengan mendatangkan musibah.
ALLAH telah menyebutkan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa ALLAH tidak akan sekali-kali menguji hamba-NYA diluar kemampuan hamba-NYA. ALLAH juga mengetahui kita kuat untuk menanggung ujian yang diberikan. Disini kita akan terfikir betapa sayangnya ALLAH kepada kita dan bukan kerana benci. Lantaran itulah kita sebagai hamba-NYA dikehendaki bersabar dalam menghadapi ujian yang mendatang. Sebenarnya ALLAh telah mengaturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya...
Apabila kita ditimpa ujian, apa yang seharusnya kita lakukan? Tidak lain dan tidak bukan ialah mendekatkan diri kita kepada ALLAH. Berdoalah kepada ALLAH untuk meminta petunjuk dan jalan penyelesaian terhadap segala msalah yang kita hadapi kerana ALLAHlah tempat kembali segala masalah. Bersesuailah dengan datang dari ALLAH dan tempat kembalinya juga kepada ALLAH. Mengadulah segala masalah kita kepada ALLAH, ketahuilah ALLAH maha mendengar setiap rintihan hambaNYA. ALLAH sangat suka kepada hambaNYA yang selalu meminta kepada NYA. Jadi jangan mudah bersangka buruk terhadap musibah yang melanda kerana ALLAH maha mengetahui apa hikmah yang terlindung disebaliknya. Wallahu a'lam...